Pada suatu malam,Abdul Rahman tidur dan didatangi oleh seorang nenek tua. Nenek tua itu bertanya kepada Abdul Rahman “Benarkah anak ingin keluar dari Pulau Jemaja ini?” “Benar..” jawab Abdul Rahman. Nenek tersebut menyuruh Abdul Rahman berlayar menuju ke arah matahari terbenam dan akan berjumpa dengan sebuah pulau yang masih belum di didiami oleh manusia.
Abdul Rahman tersedar dari tidurnya. Pada ketika itu sudah masuk waktu subuh. Beliau terus bangun dan menunaikan solat subuh dan berdoa “Ya Allah, benarkah mimpi aku malam tadi memberi petunjuk kepada aku? Aku tidak tahan lagi tinggal di bawah pemerintahan yang kejam ini”.
Abdul Rahman bertekad dan yakin kepada dirinya dan memanggil ke semua adik-beradiknya untuk berkumpul. Beliau berkata kepada adik-adiknya, “Malam tadi aku bermimpi berjumpa seorang nenek tua yang menyuruh kita berlayar ke arah matahari terbenam. Kita perlu berlayar sehingga jumpa sebuah pulau yang belum didiami oleh orang lain. Siapa akan ikut aku ?” tanya Abdul Rahman kepada adik-adiknya. Hanya isteri Abdul Rahman iaitu Mahpidi dan anak-anakya iaitu Abdul Rashid bin Abdul Rahman, Jemah binti Abdul Rahman dan Seman bin Abdul Rahman yang mahu mengikutnya.
Abdul Rahman bersiap-siap dan membaiki sampan kotaknya. Manakala, isterinya bersiap menyediakan kelengkapan makanan. Setelah semuanya siap,selepas waktu subuh Abdul Rahman bersama isteri serta anak-anaknya pun berlayar menuju ke arah matahari terbenam mengikut petunjuk dalam mimpi beliau. Selama 2 bulan berlayar berbekalkan makanan ubi dan pisang, akhirnya sekeluarga tersebut ternampak sebuah pulau yang sangat kecil seperti buah kelapa. Beliau pun menuju ke pulau tersebut. Selang beberapa hari sampailah beliau ke pulau tersebut yang sudah pun didiami oleh orang. Beliau pun meminta kebenaran untuk bermalam di pulau tersebut. Penduduk pulau tersebut telah mengajak beliau bermalam di rumahnya. Abdul Rahman bertanya kepada tuan rumah itu “Siapakah nama awak? ” Lalu tuan rumah itu menjawab “ Nama saya Mok dan penduduk kampung panggil saya Tok Mok. Saya ketua kampung di Pulau Tioman ini ”
Abdul Rahman terus memperkenalkan dirinya. Abdul Rahman dan Tok Mok berbual-bual sepanjang malam. Mereka menceritakan susah senang kehidupan yang dialami. Abdul Rahman menceritakan betapa sukarnya kehidupan di kampungnya dengan pemerintah yang kejam.
Tok Mok menunjukkan kepada Abdul Rahman arah mata angin selatan dan memberitahu ada sebuah pulau yang masih belum didiami manusia. “ Awak boleh tinggal di situ” kata Tok Mok. “Pulau yang jauh sana sudah ada orang tinggal. Pulau tersebut dipanggil Pulau Aur” tambah Tok Mok lagi.
Pada keesokannya,pagi-pagi lagi Abdul Rahman sudah bersiap dan meminta kebenaran hendak menuju ke pulau tersebut. Apabila sampai separuh jalan, Abdul Rahman berubah hati tidak mahu pergi ke pulau tersebut. Abdul Rahman bercadang untuk pergi ke Pulau Aur kerana bimbang tiada penghuni di pulau tersebut. Berlayarlah beliau hari demi hari. Apabila bertentangan dengan pulau yang kosong, tiba-tiba kedengaran bunyi gong yang sangat kuat di telinga Abdul Rahman sekeluarga. Beliau pun berkata kepada isterinya “Bunyi itu seolah-olah memanggil kita menyuruh kita singgah di pulau itu”. Dengan hati yang ragu-ragu dan ketakutan, Abdul Rahman mengubah haluan sampan kotaknya menuju ke pulau tersebut. Isterinya bertanya kenapa beliau mengubah haluan sampan kotaknya menuju ke pulau itu. Lalu, beliau menjawab “Kita nekad. Kalau untung sabut kita timbul, kalau batu kita tenggelam. Kita mesti singgah pulau tersebut. Kita batalkan niat kita untuk pergi ke Pulau Aur”. Sesudah sampai di pulau tersebut, Abdul Rahman pun mengelilingi pulau tersebut.
Apabila sampai di kawasan pulau tersebut, Abdul Rahman pun mengelilingi pulau tersebut. Memang benar pulau ini tiada penghuni. Abdul Rahman menuju di sebelah arah mata angin selatan. Apabila berdekatan dengan pantai, beliau berlabuh dan bermalam di situ. Abdul Rahman bermalam di dalam sampan kotaknya. Kelihatan suasana sepi sepanjang malam. Oleh kerana terlalu penat, beliau dan keluarganya tidur di dalam sampan kotak. Pada malam tersebut, Abdul Rahman bermimpi di datangi seorang nenek tua sambil berkata “Ha…ha…ha… akhirnya awak sampai juga ke tempat ini”. Nenek tua itu berkata lagi “Awak boleh tinggal di pulau ini dengan bersyarat. Kalau awak sanggup dengan syarat-syarat nenek, awak boleh tinggal di sini”. Abdul Rahman bertanyakan syarat-syarat tersebut kepada nenek. Nenek menjawab “ Syarat yang pertama, nenek tidak suka bangsa asing duduk di pulau ini. Syarat yang kedua, awak mesti bagi upah kepada nenek setahun sekali bunga kembang sebanyak 4 gantang 2 cupak. Awak mesti hantar bunga kembang dan sembahyang di batu ini tiap-tiap tahun”. Nenek bertanyakan sama ada beliau boleh melaksanakan syarat tersebut atau tidak. Abdul Rahman bersetuju dengan dengan syarat tersebut. Nenek berpesan agar beliau tidak mengingkari syarat tersebut. Jika beliau ingkar, beliau akan menerima padahnya. Abdul Rahman berkata “ Ya nenek, saya berjanji dengan nenek akan menunaikan segala permintaan nenek”.
Abdul Rahman terjaga dari mimpinya dan di lihatnya seekor lipan besar menindih sampan kotaknya. Dalam keadaan ketakutan, badannya berpeluh. Isteri dan anak-anakya masih tidur. “ Hai Abdul Rahman, jangan lah awak takut. Ini nenek yang menjelma menjadi lipan menandakan pulau ini terlalu bisa untuk didiami oleh manusia. Awak dah janji dengan nenek untuk menunaikan syarat-syarat yang nenek mahu. Nenek nak balik. Awak boleh mendarat untuk membina kehidupan baru di sini. Ramai manusia ingin tinggal di pulau ini tetapi nenek tidak benarkan. Nenek sudah berjanji dengan Abdul Rahman supaya datang ke sini. Terbukti awak menepati janji. Nama nenek adalah nenek …………………. Jika terdapat sebarang hajat, awak boleh memanggil nenek. Nenek akan menjelma ”. kata nenek. Nenek memberi setongkol kemian dan berpesan “Gunalah dengan cermat dan berjimat untuk anak cucu awak. Apabila perlu, bacalah serapah ini (RAHSIA). Kami panglima hulu balang, penghulu dayang-dayang akan menjelma dalam badan anak cucu awak nanti. Ini pesan terakhir nenek, gunakanlah untuk keturunan awak sahaja. Jika keturunan lain, nenek tidak mahu menjaga lagi”. Lipan besar itu meninggalkan sampan kotak Abdul Rahman dan hilang menuju ke batu berhampiran sungai. Beliau melihat dengan matanya sendiri. Beliau mengejutkan isterinya dalam keadaan berpeluh-peluh. Apabila isterinya terjaga, beliau menceritakan kisahnya kepada isterinya. “Awak ingat tak semasa di kampung, aku pernah bermimpi seorang nenek? Memang sama dengan mimpi aku ini. Memang betullah nenek mengarahkan kita pergi ke pulau ini”.
Abdul Rahman dan keluarganya merapatkan sampan kotaknya terus ke pantai. Beliau pergi ke darat bersama keluarganya. Beliau menunjukkan kepada isterinya tempat lipan besar itu hilang. Beliau berjalan-jalan dari hujung tanjung ke tanjung. Beliau mencari anak-anak kayu untuk didirikan rumah untuk berteduh. Minggu berganti bulan, beliau mencari pucuk-pucuk daun dan buah meninjau untuk di jadikan makanan dan mencari makanan lain dijadikan untuk mengalas perut. Setelah berbulan-bulan tinggal di pulau tersebut, Abdul Rahman bercakap kepada isteri dan anak-anaknya. Beliau ingin balik ke kampung asalnya untuk mengambil adik-adiknya di sana. Isteri dan anak-anaknya membenarkan beliau pulang ke kampung untuk mengambil adik-adiknya.
Pada keesokan pagi, beliau berlayar ke arah matahari terbit seorang diri. Akhirnya, beliau sampai ke kampung asalnya iaitu Kampung Balik Pulau Jemaja. Beliau naik ke darat dan berjumpa dengan adik-adiknya. Beliau menceritakan segala kisah yang di laluinya kepada adik-adiknya. Beliau mengajak adik-adiknya tinggal bersamanya di pulau yang didiaminya. Hanya Tijah, Othman, Perak dan Zainab yang mahu mengikut Abdul Rahman. Aris dan Duara tidak mahu mengikut Abdul Rahman. Abdul Rahman berlayar menuju ke arah matahari terbenam. Bulan demi bulan hari demi hari, beliau sampai ke pulau tersebut. Abdul Rahman bersama adik-adiknya memilih tempat untuk didiami.
Pada suatu hari, Abdul Rahman mengajak adik-adiknya berjalan kampung ke kampung. Beliau berjalan kampung yang terdekat. Abdul Rahman berkata “Kampung ini sesuai untuk menyimpan barang-barang kerana kampung ini jauh. Kampung ini susah untuk orang datang kerana terlalu sulit. Kita namakan kampung ini Kampung Sulit”. Kemudian, mereka ke kampung sebelah dan mendapati kampung tersebut tidak sesuai didiami. Pada pendapatnya, suatu hari nanti orang akan meninggalkan kampung tersebut sebab teluknya tidak berapa molek. Mana-mana pun tidak sesuai kita tinggal. Kita namakan kampung ini Kampung Pak Kalih. Menghala lagi ke hadapan, terdapat banyak batu-batu melanting ke laut. Di namakan tempat ini Teluk Lanting. Seterusnya, pergi lagi ke hadapan. Terdapat banyak pokok-pokok kadur dan di namakan tempat ini Teluk Kadur.
Abdul Rahman mengajak adik-beradiknya berlayar ke teluk sebelah. Abdul Rahman berkata “Teluk ini memang sesuai kita menyimpan sampan kotak kita kerana angin tidak masuk dalam teluk ini. Kawasannya luas dan sesuai kita namakan tempat ini sempena nama sampan kotak kita iaitu Lancang. Maka, kita namakan sebagai Kampung Lancang”.
Mereka meneruskan perlayaran. Maka, jumpalah satu teluk. Teluk ini lain daripada yang lain. Terdapat banyak pokok ketapang. Kedengaran sayup-sayup suara mengilai-ngilai. Abdul Rahman dan keluarganya terjumpa hantu pontianak. Di situ, hinggakan pontianak menjadi manusia. Oleh kerana teluk ini besar, maka di namakan Kampung Pontianak.
Abdul Rahman terus menghalakan sampan kotaknya ke kampung sebelah. Kampung yang mula-mula beliau memijakkan kaki dan didiami oleh beliau. Kampung ini memang sesuai untuk orang berkumpul dan berbual-bual. Memang kampung ini disukai oleh orang ramai nanti. Kita semua kekal tinggal di sini kerana kampung lain tidak sesuai. Di sinilah tempat yang sesuai kita tinggal. Abdul Rahman menamakan kampung ini sempena mengingati kampung keturunan Abdul Rahman dan adik-beradiknya. Abdul Rahman dan adik-beradiknya berketurunan bugis dan silabesi panglima bentan. Dalam bahasa bugis, Buau bermaksud berborak atau berbual. Sesuai dengan kampung ini.
Tambahan pula, terdapat batu besar. Nama batu besar ialah batu nenek. Dinamakan sempena nama nenek dalam mimpi beliau. Ianya sebuah istana yang bersalut emas. Dinamakan kampung ini Kampung Batu Buau. Tetapi, diambil singkatan menjadi Kampung Buau.
Kita namakan pulau ini Pulau Pemanggil kerana semasa berlayar dahulu, aku terdengar bunyi pulau seolah-olah seperti gong memanggil aku ke pulau ini.
FAKTA:
· Pulau Pemanggil telah di rasmikan oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1912 iaitu Sultan Negeri Johor.
· Geran pulau ini ada pada cucu Abd Rahman hingga ke sekarang.
Lagenda benar
Mmmmm.sejarah mendalam
ReplyDeleteCerita yang menarik , ramai yang tak mengetahuinya.Ada lagi ke cucu abd rahman tu? Kalau ada kat mana dia tinggal?.Boleh jumpa ke?susah-susah penulis SSS hubungi saya. okey terima kasih.
ReplyDeletedah pegi dah kg buau ni.. (pulau pemanggil)... mmg cantik,,, penduduk hanya ada 30 org je... heheee
ReplyDeletedah pegi dah kg buau ni.. (pulau pemanggil)... mmg cantik,,, penduduk hanya ada 30 org je... heheee
ReplyDeleteSy pun pernah sampai... View yg cantik..
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletePerlu naik jeti mana untuk ke sini ya tuan
ReplyDeletePulau pemanggil memang sangat cantik.
ReplyDeleteCuma, nasihat saya, jika ada yang tawarkan Lanting Beach Resort agar lupakan niat untuk ke sana.
Cuba dapatkan rsort Kampung Buau yang lebih cantik dan ada kemudahan asas yang baik.
Saya bukan nak jatuhkan sesiapa, tetapi ini adalah pengalaman saya ketika ke Pulau Pemanggil pada tahun ini di Lanting Beach Resort.